MANUSKRIP SYAIR AWANG SEMAUN: KAJIAN DAN MANAFAATNYA KEPADA ORANG BRUNEI1

1

oleh
Ampuan Dr Haji Brahim
Jabatan Kesusasteraan Melayu
Universiti Brunei Darussalam
1.0 Pendahuluan
Syair Awang Semaun adalah salah sebuah syair yang popular dan penting dalam sejarah perkembangan Kesusasteraan Melayu Brunei tradisional. Manuskrip (MS) Syair Awang Semaun terdapat dalam beberapa versi yang tersimpan di institusi-institusi penyimpanan MS di Brunei seperti Arkib Negara, Jabatan Pusat sejarah, Dewan Bahasa dan Pustaka, koleksi persendirian dan sebagainya. Pada masa ini terdapat beberapa kajian mengenai Syair Awang Semaun yang telah dilakukan oleh para sarjana/pelajar seperti Abdul Hamid bin Jaluddin, Haji Mahadi bin Hj Mertasad, Awang Zakir bin Amin dan Hajah Masnah bin Haji Mahmud. Selain itu Syair Awang Semaun juga sering dibincangkan dalam beberapa persidangan, seminar dan juga sering dirujuk oleh ahli sejarah, bahasa, budaya, sasterawan, sosiologi dan sebagainya. Dalam kertaskerja ini akan disenaraikan beberapa MS Syair Awang Semaun dalam simpanan yang dinyatakan di atas dan kemudian membincangkan sejauhmana kajian mengenai Syair Awang Semaun telah dilaksanakan dan manafaat syair ini kepada orang Brunei terutama kepada para sarjana dan pelajar/pengkaji dalam bidang-bidang yang disebutkan di atas.
Sebelum perbincangan lebih jauh lagi, terlebih dahulu diberikan sinopsis cerita Syair Awang Semaun untuk pengetahuan atau latar belakang kepada perbincaraan ini. Syair Awang Semaun menceritakan mengenai kisah Awang Semaun, Awang Alak Betatar, Demang Sari dan Awang Sinuai. Awang Semaun bersama 13 orang adik beradiknya, yang
1 Makalah ini disampaikan dalam Simposium International PerMSan Nusantara XII, Aula Sanusi Hardkadinata, Universitas Padjadjaran, 4-7 Ogos 2008
2
berasal daripada Kayangan diceritakan turun ke dunia dan membuat penempatan yang akhirnya dinamakan sebagai Brunei. Awang Semaun adalah seorang yang kuat dan gagah diantara adik beradiknya terutama setelah ia memakan ikan sumpit-sumpit. Kekuatannya dapat dilihat apabila ia berjaya membuat dua buah perahu daripada kayu yang sangat besar dan apabila perahu itu dilumbakan, bukan sahaja dapat mengalahkan perahu lawan tetapi juga dapat memutuskan beberapa buah pulau menjadi dua buah pulau misalnya Pulau Berbunut dengan Pulau Baru-Baru, Pulau Cermin dengan Pulau Keingiran, dan Pulau Pilongan dengan Pulau Punyit, yang masing-masing berasal daripada sebuah pulau. Abang Awang Semaun yang tua iaitu Awang Alak Betatar telah dilantik menjadi Raja di Brunei, dan dengan kekuatan Awang Semaun dengan dibantu oleh saudara-saudaranya yang lain sepereti Awang Jerambak dan Demang Sari, Brunei telah dapat meluaskan jajahannya dengan menakluki Tutung, Belait, Miri, Mukah, Oya, Igan, Sambas, Saba, Tungku, Bugis, Banjar, Utai, Bolongan, Sadungan, Suluk dan Cinabatangan. Kekuatan dan kedaulatan Brunei, telah menarik minat negeri jiran untuk datang ke Brunei dengan tujuan bukan sahaja untuk berniaga tetapi juga mengadakan beberapa perlawanan misalnya Mambang Dewa dan Raja Bulkis datang ke Brunei kerana mahu berlawan bermain gasing, dan Raden Angsuka Dewa iaitu Raja Jawa telah datang ke Brunei untuk berlawan bersabung ayam. Dengan semangat yang diberikan oleh Awang Semaun, gasing Mambang Dewa dan gasing Raja Bulkis dapat dikalahkan oleh gasing Sinuai, sementara ayam Raja Jawa yang bernama “Asmara” juga dapat dikalahkan oleh ayam Sinuai yang diberi nama “Mutiara”. Sinuai adalah anak Awang Jerambak iaitu saudara sepupu Awang Semaun. Selain itu, Awang Semaun juga telah berjaya menculik puteri Johor untuk dijadikan isteri Awang Alak Betatar. Semasa upacara Awang Alak Betatar “berpuspa”, Sultan Johor telah datang ke Brunei dan semasa upacara tersebut, Awang Alak Betatar telah memberikan gelaran kepada pembesar-pembesarnya termasuk Awang Semaun yang digelar sebagai “Malik Penglima”.
Kemudian tersebut pula kisah dua orang putera China iaitu Wang Wangkang dan Wang Sunting yang mengambil dan merebutkan “Kumala Naga” di Cinabatangan. Wang Sunting yang merajuk kerana dikhianati oleh abangnya telah lari ke Brunei dan berkahwin dengan Puteri Awang Alak Betatar. Wang Wangkang yang tidak diterima oleh Wang Sunting apabila ia datang ke Brunei telah pergi ke Suluk dan kemudian dirajakan di sana iaitu setelah ia berkahwin dengan anak Datu Brundai. Wang Wangkang dengan bantuan
3
angkatan Sepanyol dan Manila kemudian menyerang Brunei. Bagaimanapun serangan ini dapat dikalahkan oleh angkatan Brunei yang diketuai oleh Awang Semaun. Selain itu diceritakan juga kedatangan Syeikh Mufakih ke Brunei yang kemudian berkahwin dengan puteri Awang Alak Betatar. Syeikh itulah yang mengislamkan Awang Alak Betatar dengan pembesar-pembesarnya. Selain itu diceritakan juga mengenai putera Awang Alak Betatar, Sultan Arifah yang dikahwinkan dengan puteri Sultan Melaka dan Sultan Jalilul Alam yang pergi ke Johor.
2.0 Manuskrip Syair Awang Semaun.
Sejauh yang diketahui, terdapat 4 MS Syair Awang Semaun iaitu:
1. MS BM31/1975 yang terdapat dalam simpanan Arkib Negara, Jabatan Muzium Negara Brunei.
2. MS PS/A/AM/8/1988 yang terdapat dalam simpanan Jabatan Pusat Sejarah Brunei
3. MS 000056 yang terdapat dalam simpanan Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei.
4. MS Koleksi persendirian HA Hamid
2.1 MS Syair Awang Semaun Arkib Negara N0. BM31/1975
MS dalam tulisan jawi telah ditranliterasikan ke dalam tulisan rumi oleh Bahagian Penyelidikan Muzium Brunei pada tahun 1975. Bagaimanapun berdasarkan penyelidikan yang telah dilakukan baru-baru ini, hanya salinannya dalam tulisan rumi sahaja yang ditemukan. Mungkin MS Syair Awang Semaun dalam tulisan jawi telah tercicir atau hilang semasa perpindahan Bahagian Arkib Jabatan Muzium di Kota Batu ke Arkib Negara di Jalan Menteri Besar pada Mac 1997. MS Syair Awang Semaun yang telah ditranliterasikan ke dalam tulisan rumi terdiri daripada 4 jilid. Bagaimanapun MS Syair Awang Semaun BM31/1975 dalam tulisan jawi sempat digunakan dan dikaji oleh Haji Abdul Hamid bin Jaluddin sebagai keperluan bagi memperolehi gelar sarjana di Universiti Malaya. Menurut
4
Haji Abd Hamid bin Jaluddin, MS dalam tulisan jawi tersebut terdapat dalam tiga jilid yang sudah ditranliterasikan oleh Bahagian Muzium Brunei.
SAS (Syair Awang Semaun) versi M (Muzium) yang dikaji oleh penulis terdapat dalam tulisan rumi sebanyak empat jilid yang telah ditranliterasikan dalam tahun 1975 oleh Bahagian Penyelidikan Muzium Brunei, dan dalam tulisan jawi dalam bentuk photo copy sebanyak tiga jilid.2
Hj Abd Hamid bin Jaluddin dalam kajiannya yang bertajuk “Syair Awang Semaun Sebagai Epik Bangsa Melayu Brunei”, telah menggunakan teks Syair Awang Semaun ini untuk membuktikan Syair Awang Semaun sebagai sebuah epik bangsa Melayu Brunei dengan melihat ciri-ciri sebuah epik yang terdapat di dalamnya terutama kewujudannya sebagai sebuah cerita yang berasal daripada cerita lisan. Haji Abd Hamid bin Jaluddin telah membuat penyelidikan untuk mendapatkan seberapa banyak cerita lisan mengenai Awang Semaun dan hasilnya beliau telah dapat mengumpul 6 buah cerita lisan Awang Semaun yang diceritakan oleh beberapa orang informan iaitu Ampuan Mohd Tahir bin Ampuan Haji Adul, Awang Haji Diris bin Timbang, Haji Duraman bin Sudin, Mohd Alinordin bin Mohd Zain, Haji Mohamed Daud bin Lain dan Haji Merali bin Timbang. Setelah terbukti bahawa Syair Awang Semaun berasal daripada cerita lisan, maka Haji Abd Hamid bin Jaluddin mengkaji pula teks MS yang digunakan untuk melihat samaada terdapat ciri-ciri epik yang lain di dalamnya iaitu dari segi watak dan perwatakan, struktur plot (dengan menerapkan analsis struktur mengikut V.Propp), unsur mitos dan legenda, dan seterusnya gaya bahasa syair tersebut. Berdasarkan penelitian yang telah dibuat didapati, Haji Abdul Hamid bin Jaludin tidak menumpukan kepada penyuntingan teks Syair Awang Semaun dengan menggunakan pendekatan filologi. Haji Abdul Hamid bin Jaludin hanya menggunakan MS tulisan rumi dan kemudian menyusun dan mentraliterasi semula MS tersebut berpandukan kepada MS Syair Awang Semaun tulisan jawi.
Dalam jilid tulisan rumi ini episodnya tidak tersusun secara kronologi dan terdapat pula beberapa kesalahan transliterasi. Kerana itu penulis telah
2 Haji Abdul Hamid bin Jaludin, Syair Awang Semaun Jilid I, Tesis Sarjana Jabatan Pengajian Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, 1995/96, hlm.16
5
berusaha semula mentraliterasi dan menyusun kembali dengan bantuan MS dalam tulisan jawi.3
Penyuntingan teks Syair Awang Semaun yang dilakukan oleh Haji Abd Hamid bin Jaludin adalah penyuntingan MS Syair Awang Semaun yang sama tetapi ditulis dalam dua sistem ejaan atau tulisan yang berlainan iaitu MS yang sudah ditranliterasikan dalam tulisan rumi, dan dan satu lagi MS dalam tulisan jawi. Pengkaji sedar tentang wujudnya beberapa versi Syair Awang Semaun yang terdapat di Jabatan Muzium, Jabatan Pusat Sejarah dan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei. Kepelbagaian versi Syair Awang Semaun tersebut telah mendorong pengkaji membuat perbandingan secara umum seperti katanya;
Ada tiga versi SAS yang dapat kita pastikan iaitu pertama koleksi Muzium Brunei yang terdiri daripada dua MS… Kedua koleksi Dewan Bahasa dan Pustaka Negara Brunei Darussalam terdiri daripada enam MS yang berlainan dan mempunyai Sembilan jilid… Ketiga koleksi Pusat Sejarah Negara Brunei Darussalam yang merupakan satu MS yang tidak lengkap.
Ketiga-tiga versi SAS ini banyak mempunyai persamaan, kalau pun ada perbezaannya ialah hanya pada versi PS (Pusat Sejarah).4
Bagaimanapun, adalah difahami bahawa Haji Abdul Hamid bin Jaludin tidak bertujuan untuk membandingkan antara versi-versi Syair Awang Semaun yang telah disebutkan beliau kerana tujuan kajian beliau hanya untuk membuktikan samaada Syair Awang Semaun sabagai sebuah karya epik atau tidak seperti yang dinyatakannya di dalam matlamat kajian beliau.
…kajian ini bermatlamt untuk menonjolkan sebanyak mungkin ciri-ciri epik yang terdapat di dalam SAS yang akhirnya dapat mengangkat SAS ini sebagai epik Bangsa Melayu Brunei.5
3 Haji Abd.Hamid bin Jaludin, Ibid., hlm.16
4 Haji Abd.Hamid bin Jaludin, ibid., hlm.14-15
5 Haji Abd. Hamid bin Jaludin, Ibid., hlm.10
6
Selain itu, mungkin juga Haji Abdul Hamid bin Jaludin kurang pengetahuan mengenai teori atau pendekatan filologi yang mementingkan pencarian dan penyuntingan sebuah teks yang mendekati kepada teks yang asli sebelum kajian lebih lanjut dilakukan atas teks tersebut. Mencari keaslian teks atau teks yang lengkap setentunya tidak berdasarkan kepada banyak episod dan juga banyak rangkap syair dengan andaian bahawa teks yang mengemukakan banyak epsiod lebih lengkap daripada teks yang tidak banyak episod, atau teks yang mempunyai jumlah rangkap syair yang banyak juga dianggap sebagai teks yang lengkap dengan alasan ianya dapat memberi ruang wujudnya banyak persoalan dan perbincangan seperti kata Haji Abdul Hamid bin Jaludin:.
Alasan penting yang menyebabkan penulis memilih versi M ialah pertamanya dari episod yang terdapat di dalamnya, versi M lebih lengkap berbanding dengan episod yang terdapat di dalam versi PS. Kedua dari perbandingan rangkap SAS versi M 2875 dan SAS versi PS 1296 bererti 1579 rangkap yang terdapat di dalam SAS versi M tidak terdapat di dalam SAS versi PS iaitu sebanyak 14 episod yang bermula dari bahagian terakhir dalam episod persabungan ayam antara Raden Angsuka Dewa dengan Awang Sinuai hinggalah sampai ke bahagian penutup SAS. Tentulah dari jumlah rangkap sebanyak itu banyak persoalan-persoalan penting yang boleh kita menafaatkan dalam bidang pengajian dan penyelidikan. Ketiga di dalam versi M juga terdapat episod-episod yang menonjolkan ciri-ciri epik dan kepahlawanan Awang Semaun yang tidak kita jumpai di dalam versi PS6.
Dalam mentraliterasikan Syair Awang Semaun versi Muzium yang dianggap oleh Haji Abdul Hamid bin Jaludin sebagai teks induk, beliau mengatakan bahawa beliau telah merujuk MS Syair Awang Semaun versi Jabatan Pusat Sejarah dan versi Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei jika didapati teks induk tersebut tidak langkap atau kurang jelas. Bagaimanapun tidak diketahui apakah beliau merujuk dengan maksud untuk menjelaskan kata atau ayat yang kurang jelas, atau menambah episod atau rangkap syair yang tidak terdapat dalam teks induk. Penyuntingan seperti ini memungkinkan wujudnya sebuah versi Syair Awang Semaun yang baru iaitu Syair Awang Semaun versi Haji Abd Hamid bin Jaludin. (Sinopsis Syair Awang Semaun yang diberikan dalam makalah ini adalah sinopsis yang telah diberikan oleh Haji Abdul Hamid bin Jaluddin).
6 Haji Abdul Hamid bin Jaludin, Ibid., hlm.18
7
Sementara itu, Awang Zakir bin Amin pula dalam latihan ilmiahnya bertajuk “Syair Awang Semaun: Sebagai Karya Epik Melayu Brunei” telah menggunakan teks Syair Awang Semaun yang sudah ditranliterasi dalam tulisan rumi yang terdapat dalam 4 jilid dengan penumpuan kepada jilid satu seperti katanya;
“Kajian ini menggunakan SAS versi Muzium Brunei, BM/31/1975 yang dirumikan dari teks asal yang ditulis dengan tulisan Jawi. Versi ini mengandungi empat volume. Volume satu dilampirkan kerana bahagian besar kajian ditumpukan kepada volume ini”7
Kajian Awang Zakir bin Amin hanya memfokaskan kepada beberapa aspek atau unsur yang terdapat di dalam teks sahaja iaitu unsur mitos dan legenda, peranan watak (pahlawan tiga segimbar) dalam meluaskan jajahan takluk Brunei, dan penilaian Syair Awang Semaun sebagai sebuah karya epik, walaupun hal ini tidak dinyatakan di dalam objektif kajian. Objektif kajian yang dinyatakan hanyalah semata-mata untuk mengkaji dan menonjolkan kisah-kisah yang berlaku dalam zaman kegemilangan Brunei masa lalu.
Kajian ini adalah semata-mata ingin mengkaji salah satu khazanah kesusasteraan lama yang terdapat di negara ini iaitu SAS. Kajian ini dibuat bagi menyingkap kisah-kisah yang berlaku dalam zaman atau era kegemilangan Brunei masa lampau. Ianya diharapkan dapat memberikan gambaran tentang masyarakat yang disebut dengan orang Brunei dahulu.8
Awang Zakir bin Amin hanya menggunakan MS Syair Awang Semaun yang sudah ditranliterasi sebagai bahan kajian dengan alasan pengkaji tidak mempunyai cukup masa untuk membuat tranliterasi versi-versi yang ditulis dalam tulisan Jawi. Oleh itu kajian ini tidak mengemukakan tranliterasi, penyuntingan dan perbandingan MS untuk menentukan sebuah MS dan teks yang autentik daripada berbagai MS atau versi yang ada.
Versi ini (versi Muzium) senghaja digunakan oleh penulis atas beberapa alasan. Alasan pertama adalah disebabkan oleh faktor masa dimana penulis
7 Awang Jakir bin Amin. Syair Awang Semaun: Sebagai Karya Epik Melayu Brunei. Latihan Ilmiah Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam, 1993/1994, hlm.4-5
8 Awang Jakir bin Amin,.Ibid., hlm.3
8
tidak cukup masa untuk membuat transkripsi versi-versi yang ditulis dalam tulisan jawi. Alasan berikut adalah kerana versi ini telah dirumikan dan pada pendapat penulis versi ini adalah versi yang paling lengkap walaupun ada sebahagian rangkapnya telah hilang. 9.
Berdasarkan kesimpulan umum Awang Zakir bin Amin yang mengatakan teks yang sudah ditranliterasikan adalah dianggap sebagai sebuah teks yang sudah lengkap, tentunya Awang Zakir bin Amin tidak mengunakan atau kurang mengetahui teori filologi dalam mentraliterasikan sesebuah MS.
2.2 MS Jabatan Pusat Sejarah
Syair Awang Semaun yang terdapat dalam simpanan Jabatan Pusat Sejarah dengan numbor perolehan MS PS/A/AM/8/1988 dikatakan asalnya dipunyai oleh Md Noor bin Osman yang tinggal di Kampung Menengah, Jalan Kastam Lama Mukim Bangar Temburung. MS ini telah pun ditranliterasi dan dikaji oleh Haji Mahadi bin Mertasad sebagai keperluan bagi memperolehi gelar sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia dengan tajuk kajian “Syair Awang Semaun: Satu Kajian Teks”. Haji Mahadi bin Metersad telah membuat tranliterasi MS ini dengan tidak membandingkan dengan MSS lain. Apa yang dipentingkan oleh pengkaji dalam kajian ini adalah penonjolan unsur-unsur mitos dan legenda dan episod-episod yang terdapat dalam Syair Awang Semaun. Unsur mitos yang dibincangkan adalah mitos pembukaan Negeri Brunei dengan menumpukan kepada cerita asal usul Pulau Cermin dan Pulau Keingaran, Asal Usul Pulau Berbunut dan Pulau Baru-baru, asal usul Pualau Kitang dan lain-lain. Sementara unsur legenda yang dibincangkan adalah legenda Awang Semuan, Legenda Awang Jerambak, Legenda Awang Sinuai dan lain-lain. Sementara dari segi episod yang dibincangkan adalah antaranya episod lumba perahu di antara Pateh Sangkuna dengan Awang Semaun, episod Awang Semaun bersama Demang Sari bersaur ke Pulau Labuan, episod Awang Jerambak berperang dengan Kaum Murut, episod Pertemuan Awang Jeramak dengan Awang Semaun dan Demang Sari, episod Awang
9 Awang Jakir bin Amin. Ibid., hlm.5
9
Semaun berperang dengan si Basiong di Negeri Ikan, dan sebagainya. Sebagai sebuah kajian teks, pengkaji tidak mengkaji semua aspek tentang teks secara menyeluruh dan terperinci misalnya plot, watak, latar dan bahasa walaupun tajuk kajian Haji Mahadi menjurus kepada kajian teks. Malah Haji Mahadi bin Haji Mertersad juga tidak memberikan sebarang tujan atau objektif terhadap kajian beliau.
2.3 MS Dewan Bahasa dan Pustaka
Dikatakan terdapat 6 MS Syair Awang Semaun dalam simpanan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei. MS pertama satu jilid, MS kedua terdiri daripada 3 jilid dengan numbor perolehan 50, 51 dan 52, MS ketiga terdiri daripada dua jilid dengan nombor perolehan 53 dan 54, MS keempat dengan numbor perolehan 58, MS kelima dengan nombor perolehan 55, dan MS keenam yang bernombor perolehan 56 (000056). Bagaimanapun berdasarkan penyelidikan yang dilakukan baru-baru ini, hanya MS keenam sahaja yang ditemui. Menurut informasi yang diterima, MS lain telah hilang atau dicuri oleh seseorang.
MS 000056 sejauh ini belum pernah dikaji. Hal ini mungkin disebabkan oleh kebanyakan MS ini sukar untuk diperolehi atau mungkin juga MS ini sedang diusahakan untuk dikaji oleh pengawai Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri seperti kata Haji Abdul Hamid bin Jaludin:
Pada mulanya penulis (Haji Abdul Hamid bin Jaludin) bercadang untuk menggunakan SAS veri DBP nombor 56 dalam pengkajian ini, tetapi oleh kerana versi ini akan diterbitkan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei maka penulis tidaklah dibenarkan untuk menggunakannya.10
2.4 MS Koleksi Persendirian
Adalah dijangkakan terdapat beberapa beberapa MS Syair Awang Semaun yang tersimpan dalam koleksi persendirian dan salah satu MS yang dikenal pasti adalah koleksi persendirian Hamid. MS ini telah ditranliterasi dan dikaji oleh Hajah Masnah bin Haji
10 Haji Abdul Hamid bin Jaludin, Op.cit., hlm.17
10
Mahmud sebagai keperluan memperolehi izajah sarjana muda sastera di Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Univerisiti Brunei Darussalam, dengan tajuk “Syair Awang Semaun: Satu kajian Struktur”. Dalam kajian ini, Hajah Masnah telah mantraliterasi MS yang digunakan dan kemudian menganalisis struktur teks tersebut dengan menumpukkan kepada plot, latar dan bahasa. Bagaimanapun dalam mentranliterasikan MS ini, Hajah Masnah tidak membuat perbandingan dengan MSS Syair Awang Semaun yang lain. Berdasarkan isi, dapatlah dikatakan bahawa MS ini berbeza dengan MS koleksi Arkib Negara dan umur teks MS ini mungkin lebih muda daripada MS yang lain kerana di dalamnya terdapat episod Sultan Bolkiah datang ke Brunei kerana ingin berjumpa dengan kaum keluarganya dan kemudian Sultan Bolkiah diajak oleh Awang Asmara untuk meminang puteri Selangor. Sultan Bolkian adalah sultan Brunei yang ke-5.
Selain daripada beberapa kajian yang dinyatakan di atas, terdapat juga beberapa perbincangan dalam makalah atau seminar mengenai Syair Awang Semaun misalnya makalah Metassim bin Haji Jibah dengan tajuk “Syair Awang Semaun: Suatu Penilaian Sebagai Sumber Sastera Rakyat dan Sejarah”11, makalah “Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid bertajuk “Syair Awang Semaun Sebuah Epik Brunei?”12, makalah Prof Siti Hawa Haji Salleh bertajuk “Karya-Karya Historiografi Melayu Tradisional dalam Bentuk Puisi: Sorotan Kepada Syair Awang Semaun”,13 Teuku Iskandar dengan makalahnya bertajuk “Syair Awang Semaun dan Hikayat Hang Tuah Sebagai Karya Untuk Mempertinggi Imej dan Mertabat Suatu Bangsa”,14 Haji Yusof bin Awang Damit dengan makalah bertajuk “Syair Awang Semaun Sebagai Sebuah Karya Sastera Sejarah”15 Dalam makalah yang pertama, Metassim bin Haji Jibah telah menilai Syair Awang Semaun sebagai karya sastera dan juga karya berunsur sejarah dan hasil daripada penelitiannya menunjukkan Syair Awang Semaun
11 Metassim bin Haji Jibah, ““Syiar Awang Semaun: Suatu Penilaian Sebagai Sumber Sastera Rakyat dan Sejarah” Berita Muzium Bil II dan III, Muzium Negara Brunei Darussalam, April-Jun 1980. Selain itu beliau juga telah menulis makalah bertajuk “Shaer Awang Semaun: Dari Puisi Ka-Prosa” yang diterbitkan dalam Berita Muzium Bil 3, Julai-September, 1980.
12 Hashim bin Haji Abd.Hamid, Syair Awang Semaun Sebuah Epik Brunei?’, Dialog Teluk Brunei II, Anjuran Persatuan Asterawani Negara Brunei Darussalam, 24-26 Disember 1988.
13 Siti Hawa Haji Salleh, “Karya-Karya Historiografi Melayu Tradisional dalam Bentuk Puisi: Sorotan Kepada Syair Awang Semaun”, Seminar Sejarah Brunei, anjuran Jabatan Pusat Sejarah Negara Brunei Darussalam, 28-31 Ogos 1989.
14 Teuku Iskandar, “Syair Awang Semaun dan Hikayat Hang Tuah Sebagai Karya Untuk Mempertinggi Imej dan Mertabat Suatu Bangsa”, Pertemuan Sastera Nusantara ke-VIII, 1994.
15 Haji Yusof bin Awang Damit, “Syair Awang Semaun Sebagai Sebuah Karya Sastera Sejarah” Seminar Antarabgnsa Pengajian Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam, 13-15 November 1997.
11
boleh digolongkan ke dalam kedua-dua karya tersebut. Makalah kedua pula, Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid telah memadankan semua ciri sastera epik ke dalam Syair Awang Semaun dan akhirnya menyimpulkan bahawa Syair Awang Semaun adalah sebuah epik. Begitu juga dengan Prof Siti Hawa Haji Salleh telah membincangkan Syair Awang Semaun sebagai contoh karya histriografi dalam bentuk syair yang tidak jauh bezanya dengan karya histriografi Melayu yang lain. Sementara itu Prof Teuku Iskandar telah membandingkan Syair Awang Semaun dan Hikayat Hang Tuah dan peranan kedua karya tersebut dalam mempertinggikan mertabat bangsa yang melahirkannya.
3.0 Manafaat Syair Awang Semaun Kepada Orang Brunei.
Syair Awang Semaun adalah berasal daripada cerita lisan Awang Semaun yang di dalamnya terdapat cerita-cerita mitos dan legenda. Cerita Awang Semaun yang menonjolkan wira epik bangsa Brunei diturunkan dari satu generasi ke genarasi. Iaanya tersebar dan kebanyakan ahli masyarakat mengetahuinya. Fenomena tersebut secara tidak langsung memberikan masyarakat Brunei satu memori masa silam yang sama dan memori yang sama ini akan mengikat mereka menjadi sebuah masyarakat yang satu, masyarakat yang mempunyai cita rasa yang sama, mempunyai sejarah dan keperibadian yang sama, yang tentunya berbeza dengan sejarah dan keperibadian kelompok masyarakat yang lain. Dengan adanya perpaduan tersebut, masyarakat akan lebih kuat dan bersatupadu dan secara tidak langsung akhirnya hal ini akan memudahkan pembentukkan sebuah wargabangsa atau “nation-building”.
Syair Awang Semaun adalah sebuah karya histriografi dan epik bangsa Brunei. Sebagai sebuah karya histriografi, ia telah digunakan sebagai narasumber atau rujukan dalam penulisan buku, makalah, kertaskeraja, tesis, latihan ilmiah yang bercorak sejarah atau yang bukan misalnya buku Tarsilah Brunei,16 Chatatan Sejarah Perwira2 dan Pembesar2 Brunei,17 Islam di Brunei Darussalam.18 Kertas kerja “Kampong Aying: Model dan
16 Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri, POKAD DSU (Dr), Tarsilah Brunei. Jabatan Pusat Sejarah Brunei. 1990.
17 Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri, POKAD DSU (Dr), Chatatan Sejarah Perwira2 dan Pembesar2 Brunei. Dewan Bahasa dan Pustaka Jilid I, 1971.
18 Pengiran Dr Haji Muhammad bin Pengiran Haji Abd Rahman. Islam di Brunei Darussalam. Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei. 2001.
12
Kesinambungan Sosiobudaya Brunei”,19 latihan ilmiah “Bahasa Syair Semaun Mengambarkan Suatau kekhasan Mengenai Ciri Ke Bruneian’,20 dan sebagainya.
Syair Awang Semaun adalah sebuah epik bangsa Brunei dengan watak Awang Semaun telah dikenali umum dan dibanggakan oleh orang Brunei sebagai wira bangsa yang unggul. Keunggulannya tergambar daripada kekuatan minda dan fizikalnya sehingga ia mampu mengalahkan musuh-musuhnya, memperluas jajahan takluk Brunei dan menjadikan negara Brunei aman damai serta disegani oleh negara-negara lain. Hal ini dapat memberikan rasa kebangsaan sebagai orang Brunei. Kebanggaan anak bangsa kepada wira bangsanya secara tidak langsung akan menyatukan semangat spiritual orang Brunei untuk mempertahankan atau mencintai negaranya sendiri melalui semangat atau roh Awang Semaun yang mengalir dalam ingatan atau memori setiap anak bangsanya. Dalam syair ini juga terdapat cerita asal-usul yang bersifat mitos dan legenda Fenomena ini juga mungkin merupakan tujuan atau hasrat pencipta/penulis (orang Brunei) itu sendiri menciptakan Syair Awang Semaun, bagi menonjolkan bangsa mereka sendiri untuk diagungkan sebagai tokoh epik seperti juga dengan bangsa lain di dunia ini sering menonjolkan bangsa mereka sebagai tokok epik misalnya bangsa Melayu menonjolkan Hang Tuah, orang Islam menonjolkan Muhammad Hanafiah sebagai tokoh epik Islam, orang India menonjolkan Ramayana dan Mahabrata dan lain-lain.
MS Syair Awang Semaun juga dikatakan wujud dalam pelbagai versi yang tersimpan di beberapa institusi, koleksi persendirian dan dalam minda penutur lisan, yang secara tidak langsung memperlihatkan setiap orang ingin memiliki salinan Syair Awang Semaun baik dalam bentuk tulisan atau lisan.
4.0 Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, hasil daripada penelitian di atas memperlihatkan bahawa Syair Awang Semaun adalah sebuah syair yang popular dan penting kepada orang Brunei.
19 Haji Hashim bin Haji Abdu Hamid, “Kampong Aying: Model dan Kesinambungan Sosiobudaya Brunei”, Seminar Antarabangsa: Bahasa dan Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu. Universiti Brunei Darussalam. 3-8 Ogos 1987.
20 Md Ali Nordin bin Md Zain, Bahasa Syair Awang Semaun Menggambarkan Suatu Kekhasan Ciri Kebruneian, Latihan ilmiah Jabatan Bahasa Melayu dan Linguistik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Brunei Darussalam, 1990.
13
Manuskrip syair ini wujud dalam beberapa versi yang tersimpan di beberapa institusi dan ianya juga dikenal pasti berasal daripada cerita lisan yang menggambarkan kepopularan Syair Awang Semaun tersebut. Syair ini secara tidak langsung memberikan satu ingatan atau memori silam kepada orang Brunei khususnya mengenai Awang Semaun sebagai tokoh epik kebangsaan Brunei. Adalah diperkirakan dengan ingatan atau memori silam tersebut dapat memberikan sedikit sumbangan dalam menyatukan masyarakat kerana mereka mempunyai memori masa silam yang sama. Selain daripada itu, Syair Awang Semaun dapat dijadikan sebagai sumber rujukan dalam penulisan samada dalam bidang sejarah atau bukan. Akhirnya melalui penelitian yang singkat ini didapati usaha untuk membandingkan dan mengkaji semua MS Syair Awang Semaun dengan menggunakan pendekatan atau teori filologi bagi menghasilkan sebuah teks yang autentik belum dilakukan lagi. Oleh itu diharapkan, akan ada usaha yang sedemikian dimasa yang terdekat sehingga Syair Awang Semaun akan lebih memberikan manafaat kepada orang Brunei terutamanya kepada para sarjana dan pengkaji dalam berbagai bidang ilmu atau displin.
14
Rujukan:
Ampuan Haji Brahim bin Ampuan Hj Tengah. 2005. Syair Rajang: Penyelenggaraan dan Analisis Teks. Brunei: Dewan Bahasa dan Pustaka
Awang bin Ahmad. 1989. Pengantar Sastera Lama Brunei. Brunei: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abd. Hamid bin Jaludin, Haji. 1996. Syair Awang Semaun Sebagai Epik Bangsa Melayu Brunei Jilid I dan II. Tesis Sarjana Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Chong Ah Fok. 1998. Prof. Teuku Iskandar: Syair Awang Semaun Epik Agung. Bahana. Mei (hlm. 43-46)
Hashim Haji Abd. Hamid, Dr Haji. 1988. Syair Awang Semaun Sebuah Epik Bangsa Brunei?. Dialog Teluk Brunei Bandar Seri Begawan Brunei. 24-26 Dis.
Hashim Haji Abd. Hamid, Dr Haji. 1988. Syair Awang Semaun Sebuah Epik Bangsa Brunei?. Dialog Teluk Brunei Bandar Seri Begawan Brunei. 24-26 Dis.
Iskandar, Teuku. 1994. Syair Awang Semaun dan Hikayat Hang Tuah Sebagai Karya Untuk Mempertinggikan Imej dan Martabat Suatu Bangsa. Bahana, Sept (hlm.27-32, 47)
Jakir bin Amin. 1994. Syair Awang Semaun: Sebagai Karya Epik Melayu Brunei. Latihan Ilmiah Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam.
Masnah binti Haji Mahmud, Hajah. 2001. Syair Awang Semaun: Satu Analisis Struktur. Latihan Ilmiah Jabatan Kesusasteraan melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam.
Metassim Hj Jibah. 1980. Shaer Awang Semaun: Suatu Penilaian Sebagai Sumber Sastera Rakyat dan Sejarah. Berita Muzium, Apr-Jun (hlm.21-28), Jun-Jul (hlm.35-42)
Metassim bin Haji Jibah, 1980. “Shaer Awang Semaun: Dari Puisi Ka-Prosa” Berita Muzium Bil 3, Julai-September.
Md Yusof bin Awang Damit, Haji. “Syair Awang Semaun Sebagai Sebuah Karya Sastera Sejarah” Seminar Antarabgnsa Pengajian Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam, 13-15 November 1997.
Siti Hawa Haji Salleh. 1994. Karya Historiografi Melayu Tradisional Dalam Bentuk Puisi: Sorotan Khas Syair Awang Semaun. Brunei Ditengah-tengah Nusantara: Kumpulan Kertas Kerja Seminar Sejarah Brunei. Bandar Seri Begawan: Jabatan Pusat Sejarah.